Seramai 50 Asnaf Di DUN Muara Tuang Terima Bantuan Sempena Program Ziarah UKAS

KHAMIS, 8 JULAI 2021

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 20 buah kampung melibatkan 50 orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf yang disenaraikan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima bantuan bakul makanan berserta pelitup muka dan cecair pembersih tangan sempena Program Ziarah UKAS pada Khamis.

Penyerahan simbolik disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah Samarahan merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Samarahan, Jerry Zannuddin Bidin kepada wakil penerima yang telah disenaraikan bertempat di Rumah Rehat Pejabat Daerah Samarahan.

Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Sindang, Kampung Meranek, Kampung Tanah Puteh, Kampung Endap, Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa 1, Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa 2, Kampung Sungai Menaul, Kampung Reban, Kampung Lubok Ria, Kampung Siniawan, Kampung Rimba Padi, Kampung Mang, Kampung Naie Baru, Kampung Empila, Kampung Sungai Mata, Kampung Semawang, Kampung Baru, Kampung Jaya Ria, Kampung Melayu dan Taman Desa Ilmu.

Sementara itu, Jerry Zannuddin ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada pihak Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan berharap bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk golongan asnaf sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Dalam pada itu, para wakil penerima ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada UKAS di atas keprihatinan menghulurkan bantuan bakul makanan ketika pandemik COVID-19 ini.

Turut hadir bersama adalah Ketua Marqas Operasi ADUN Muara Tuang yang mewakili ADUN Muara Tuang, Aziz Mohamad serta wakil penerima di 20 buah kampung bagi kawasan DUN Muara Tuang.-EDISI UKAS

Share
0

add comment