Awang Tengah Serah Cek RM6.37 Juta Baiki Kerosakan Infrastruktur Akibat Banjir

JUMAAT, 9 JULAI 2021

LAWAS: Sebanyak RM6.37 juta telah diluluskan bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur akibat banjir di Daerah Sundar. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah menyerahkan peruntukan tersebut dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pejabat Daerah Kecil Sundar pada Isnin. 

Terdapat 16 projek akan dilaksanakan di 10 buah kampung di  Daerah Kecil Sundar termasuk membaik pulih kerosakan infrastruktur akibat banjir. 

Antara kampung-kampung yang menerima peruntukan itu ialah Kampung Tanjung Pagar, Kampung Luagan, Kampung Bada Rayeh, Kampung Meriting, Kampung Silat, Kampung Bangkyai Jaya, Kampung Tanjung Pagar, Kampung Baru, Kampung Lubok Batong Layung dan Kampung Seberang Sundar.

Turut diserahkan penyerahan surat kelulusan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah diluluskan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari.

Hadir sama Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ketua Polis Daerah Lawas DSP Sila Dundang dan Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif. -EDISI UKAS