Dato Sri Fatimah Sertai Pasukan Outreach Vaksinasi, Berkesempatan Lawat Projek Sawas Nanga Baoh

KHAMIS, 8 JULAI 2021

DALAT : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah telah menyertai Pasukan Outreach Vaksinasi COVID-19 yang diadakan di Klinik Kesihatan Nanga Baoh, pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak berkata, jarak perjalanan ke Nanga Baoh dari Dalat mengambil masa selama 1 jam menggunakan bot laju menyusuri jalan sungai sepanjang 16 kilometer.

Untuk itu jelasnya, dengan kekuatan 10 orang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibantu oleh 6 orang sukarelawan daripada Pejabat Daerah Dalat, disasarkan dapat memvaksinasikan seramai 186 penduduk Nanga Baoh yang telah mendaftar, melibatkan 11 buah rumah panjang.

Tambah beliau, petugas dibahagikan kepada dua kumpulan, yang mana satu pasukan menjalankan vaksinasi di Klinik Kesihatan Nanga Baoh (115 orang) dan satu lagi pasukan akan bergerak ke empat buah rumah panjang (71 orang).

“Dengan cara begini, kita pastikan penduduk di kawasan luar bandar, terutama sekali yang jauh daripada pekan dan sukar untuk diakses akan dapat divaksinasi”

“Tambahan pula bagi yang terlantar dan tidak dapat bergerak dari rumah ke pusat vaksinasi, mereka ini juga tidak akan terlepas untuk divaksinasi kerana akan ada ‘mobile team vaksinasi’ datang dari rumah ke rumah,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Dato Sri Fatimah pada hari yang sama juga berkesempatan melawat Projek Sawas Nanga Baoh yang telah siap dilaksanakan pada bulan Mac 2020.

Katanya, projek bernilai RM16,700,000 itu dipercayai memberi manfaat kepada sebanyak 1,430 penduduk dari Rumah Balin, Rumah Duah, Rumah Tulu, Rumah Bala, SK Nanga Baoh dan Klinik Nanga Baoh.

“Projek ini memberi manfaat kepada rakyat, terutama waktu kemarau yang sememangnya memberi masalah kepada penduduk di kawasan ini”

“Mereka hanya bergantung kepada air tadahan hujan, dan bila kemarau datang akan sukar untuk dapatkan air untuk minum dan mandi,” tambah beliau. -EDISI UKAS

Share
0

add comment