IPD Sri Aman Sumbang Bantuan Makanan Melalui Program Ops Bantu

JUMAAT, 9 JULAI 2021

SRI AMAN: Prihatin dengan nasib masyarakat setempat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman terus mengambil langkah proaktif dengan mengenal pasti golongan sasar seterusnya menyampaikan bekalan makanan melalui ‘Program OPS Bantu’ yang turut dibantu oleh Skuad Aman Wanita PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan (DSP) Bingok John berkata, sebanyak 300 keluarga disasarkan akan mendapat manfaat daripada program tersebut selepas menerima kelulusan daripada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWKM).

Jelasnya, bagi fasa pertama, 10 set bekalan makanan telah diserahkan kepada penerima pada Khamis, dengan dikawalselia oleh 5 Pegawai Khas iaitu ASP Jessica Unchi, Inspektor Wealy James, SM Joshua Julius, SM Nur Erdina Marini, Sarjan Dayang Suili dan turut dibantu 4 anggota RELA dan 2 pesara Polis.

Manakala bagi fasa kedua pula tambahnya, 10 set bekalan makanan lagi diserahkan kepada penerima pada Jumaat.

Katanya lagi, ‘OPS Bantu’ memberi peluang kepada pihaknya untuk lebih dekat dengan masyarakat dan sebagai tindak balas proaktif kepada isu dan situasi yang sedang dihadapi masyarakat di bawah pentadbirannya.

Sementara itu, rata-rata penerima bantuan yang ditemui mengakui terkejut dengan kunjungan Polis dan anggota RELA ke rumah kerana disangka ada melakukan kesalahan.

Bagaimanapun, selepas diberitahu kunjungan anggota (IPD) Sri Aman adalah bagi menyampaikan bantuan makanan, perasaan terkejut bertukar teruja sehingga ada yang mengalirkan air mata kesyukuran kerana terdapat dikalangan penerima terdiri daripada mereka yang tercicir untuk mendapat bantuan sebelum ini. -EDISI UKAS

Share
0

add comment