JKNS Ambil Serius Isu Doktor ‘Palsu’ di PPV Stadium Perpaduan Kuching & Hospital Umum Sarawak

JUMAAT, 9 JULAI 2021

KUCHING: Seorang individu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuching pada 6 Julai lepas selepas didakwa menyamar sebagai doktor di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Perpaduan Kuching dan di Hospital Umum Sarawak.

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dato’ Dr Mohamed Sapian Mohamed menegaskan, penyamar tersebut tidak pernah disenaraikan dalam jadual bertugas rasmi yang ditetapkan untuk semua petugas Kementerian Kesihatan dan para sukarelawan di PPV Stadium Perpaduan.

Malah ujar beliau, setiap ketua stesen di PPV tersebut biasanya akan memastikan kesemua petugas akan mengisi daftar masuk dan keluar setiap kali bertugas.

“Hasil siasatan dalaman Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mendapati individu yang menyamar menggunakan nama ‘Dr Shah’ mengaku sebagai Pegawai Perubatan Siswazah dari Hospital Umum Sarawak dan tidak pernah disenaraikan dalam jadual bertugas rasmi.

“Kesemua pemvaksin yang bertugas akan dipastikan mempunyai sijil Perakuan Pengamalan Tahunan sebelum dibenarkan memberi suntikan,” katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Dr Mohamed memaklumkan JKNS telah mengeluarkan arahan penambahbaikan serta merta kepada pihak pengurusan PPV Stadium Perpaduan Kuching dan juga Hospital Umum Sarawak bagi mengelak hal sama berulang.

“Tindakan adalah melibatkan pemberian pas petugas di PPV Stadium Perpaduan bernombor siri yang didaftarkan untuk setiap petugas, setiap nama petugas telah dikemukakan kepada pegawai polis yang bertugas di PPV berkenaan.

“Seterusnya, tindakan pengukuhan oleh ketua stesen pada setiap syif atau giliran bertugas di PPV dalam memastikan pengambilan daftar kehadiran (masuk dan keluar), semua pengamal perubatan bertugas seharusnya dapat mengemukakan sijil perakuan pengamalan tahunan masing-masing pada bila-bila masa, memperketatkan kemasukan di semua pintu masuk di Hospital Umum Sarawak termasuk pemeriksaan pintu akses secara berkala,” katanya.

Tambahnya lagi, pemeriksaan pematuhan penggunaan pas petugas jabatan, pas sementara, pas kontraktor yang sah di semua wad termasuk pejabat secara khususnya dan kawasan hospital secara amnya, mengemas kini peringatan berkenaan pematuhan penggunaan pas petugas jabatan oleh semua warga Hospital Umum Sarawak.

“Tindakan tegas ke atas pemalsuan pas petugas jabatan yang merupakan dokumen rasmi kerajaan termasuk mengeluarkan poster berkenaan kesalahan penyamaran sebagai penjawat awam.

“Justeru, saya memohon kepada semua pihak yang mengunjungi fasiliti Kementerian Kesihatan seperti di PPV dan hospital untuk sentiasa memberi kerjasama kepada pihak kawalan keselamatan yang menjalankan tugas memastikan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan di fasiliti-fasiliti tersebut.

“Semua petugas turut dimaklumkan supaya melaporkan segera kepada pihak pengurusan PPV dan hospital sekiranya terserempak dengan individu-individu yang mencurigakan di kawasan masing-masing,” ujarnya. –EDISI UKAS

Share
0

add comment