JUMAAT, 9 JULAI 2021
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir telah menyalurkan sumbangan kepada beberapa mangsa kebakaran yang berlaku di Emplam, Kabong pada Ahad, 4 Julai 2021.
Bantuan diberikan pada kadar segera untuk beberapa orang mangsa yang terkesan akibat kejadian kebakaran tersebut untuk baik pulih keadaan rumah yang terjejas.
Dalam kejadian berlaku sekitar jam 10.30 Pagi, bahang kebakaran telah menyebabkan kerosakan rumah bersebelahan kanan sebanyak 10 peratus, bersebelahan sebelah kiri 10 peratus serta rumah bersebelahan belakang mengalami kerosakan 10 peratus pada dinding dan jendela rumah.
Kebakaran tersebut juga turut memusnahkan beberapa buah motosikal.
Bantuan ini telah disampaikan oleh Pegawai Khas ADUN Kabong, Nur Elffi Amir mewakili Mohd Chee kepada KK Johan Joh (Kampung Hulu Emplam) dan kepada KK Abdul Rashid Sibi (Kampung Hilir Emplam) pada Jumaat. – EDISI UKAS