Pelajar Luar Negara Teruja Bantu Lancar Vaksinasi PPV DUN Pelawan

JUMAAT, 9 JULAI 2021

SIBU: Kerjasama pelajar SEGi College Sarawak yang terdiri daripada pelbagai negara telah membantu mendapatkan seramai 3,000 orang penerima vaksin COVID-19 semasa pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) DUN Pelawan dalam masa tiga hari.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Micheal Tiang ketika ditemui berkata, pengelibatan pelajar SEGi College Sarawak dalam melancarkan program tersebut amat dihargai.

“Kita amat berbangga kerana kelancaran program ini turut dibantu pelajar SEgi College Sarawak dari pelbagai negara seperti Mesir, Sudan, India dan Indonesia,” katanya kepada media pada Khamis.

PPV tersebut dibuka di Tingkat 1, Swan Square Sibu dengan kerjasama Jabatan Perpaduan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Nang San, Saberkas Pelawan, Lions Club dan Sarawak Sibu Chinese Association.

Program melibatkan penduduk dari Sungai Merah, Nang Sang, Teku dan Taman Indah.

Michael juga menambah bagi menjayakan lagi program, KRT Nan Sang turut mengambil pendekatan turun padang untuk mendapatkan maklumat penduduk.

“KRT Nang San telah turun padang, bergerak dari rumah ke rumah selain mendirikan pondok untuk mendapatkan maklumat penduduk sebelum proses seterusnya untuk pemvaksinan.

“Sasaran kita ialah memberi 1,000 dos sehari dan kita berjaya memberikan sebanyak 3,000 dos dalam masa tiga hari program,” ujarnya.

Sementara itu, Aly Ahmad Aly Moustafa Morsy dari Mesir salah seorang sukarelawan pelajar berkata, beliau berasa teruja dan menganggapnya sebagai pengalaman terbaik kepada mereka.

“Saya menggangap peluang ini adalah amat baik kepada kami yang bukan hanya membantu melancarkan program malah memberi pengalaman berharga,” katanya.

Presiden Kelab Leo Segi University, Afreen Javed dari India juga berkata, program yang dijalankan selama tiga hari tersebut berjalan dengan lancar.

“Pelajar membantu memastikan orang ramai yang hadir selesa untuk mendapatkan vaksin.

“Proses yang dijalankan juga disusun dengan baik,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment