Program ‘Outreach’ Vaksinasi Fasa Pertama Pusat Khidmat DUN Samariang Capai Sasaran

JUMAAT, 9 JULAI 2021

KUCHING: Program ‘Outreach’ Vaksinasi Fasa Pertama yang dijalankan Pusat Khidmat DUN Samariang dengan kerjasama pasukan Pegawai Perubatan dan Jururawat Klinik Kesihatan Petra Jaya (KKPJ) telah mencapai kumpulan sasarannya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, program ini merupakan inisiatif Pusat Khidmat DUN Samariang bagi mendekati masyarakat yang kurang upaya untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar kawasan Petra Jaya atas kekangan faktor kesihatan dan sebagainya.

“Program Outreach Vaksinasi ini diharapkan dapat membantu masyarakat untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

“Ini juga sebagai usaha bagi mencapai peningkatan peratusan penduduk yang telah mendapat vaksin COVID-19, khasnya penduduk di DUN Samariang,” katanya semasa ditemui selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi di DUN Samariang pada Jumaat. 

Dalam fasa ini, sebanyak 10 orang peserta telah terlibat di mana ia melibatkan peserta daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), pesakit terlantar di rumah dan warga emas.

Beliau juga memaklumkan program yang sama akan diteruskan untuk peringkat seterusnya di kawasan DUN Samariang sehingga kesemua penduduk telah mendapat suntikan vaksin COVID-19. -EDISI UKAS

Share
0

add comment