Projek Pembinaan Jambatan Bailey Buso-Musi Siap Sepenuhnya, Kini Dibuka Kepada Umum

JUMAAT, 9 JULAI 2021

BAU: Projek pembinaan Jambatan Buso-Musi sepanjang 103 meter yang membabitkan kos sebanyak RM3.88 juta telah siap sepenuhnya.

Pengurus Projek (Bridges & Wharves), Pejabat Wilayah Selatan JKR Sarawak, Syahril Julaihi berkata, hasil daripada pemeriksaan Perakuan Siap Kerja (CPC) yang dilakukan oleh pihaknya mendapati, jambatan tersebut kini boleh dibuka untuk kegunaan umum.

Ujarnya, selepas pemeriksaan tersebut, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching akan bertanggungjawab dalam penyelenggaraan dan beberapa penambahbaikan (sekiranya ada) dari semasa ke semasa.

Malah katanya lagi, jambatan dengan had muatan 15 tan itu akan dibaikpulih oleh pihak kontraktor sekiranya berlaku sebarang kerosakan memandangkan ia masih dalam jaminan (warranty) selama setahun.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep yang hadir sama pada program turut menzahirkan rasa puas hati beliau terhadap perkembangan tersebut.

Projek Jambatan Buso-Musi telah diluluskan pembinaannya oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Datuk Abang Openg semasa melakukan Walk-about pada tahun 2016 yang ketika itu beliau merupakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak. -EDISI UKAS

Share
0

add comment