JUMAAT, 9 JULAI 2021
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut pencapaian nilai ambang indikator yang telah ditetapkan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelan itu merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19.
Jelas beliau, PPN ini memberi isyarat yang jelas apa yang telah dirancang dan akan dilaksanakan Kerajaan Sarawak untuk membawa Sarawak keluar dari kemelut pandemik ini.
“Peralihan fasa secara berperingkat bergantung kepada nilai ambang ataupun “threshold” tiga indikator utama iaitu pertamanya, keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, kedua, kadar penggunaan katil di wad icu dan ketiga, peratusan populasi sarawak yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media COVID-19 di Dewan Undangan Negeri Lama, Petra Jaya Kuching pada Jumaat.
Datuk Amar Douglas Uggah juga memberitahu, pihaknya kini sedang meneliti dan memperincikan nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator berkenaan dan pengumuman hasil kajian tersebut yang akan dibuat dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memberitahu sebanyak 77,343 dos vaksin COVID-19 telah diberikan kepada rakyat Sarawak pada Khamis dengan 29,206 merupakan dos pertama dan 48,137 pula dos kedua. -EDISI UKAS