Sokongan NGO Bantu Percepat PICK Di Sarawak: Datuk Francis

JUMAAT, 9 JULAI 2021

SIBU: Sokongan dari badan bukan kerajaan (NGO) amat dialu-alukan dalam usaha mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sarawak.

Ia dijelaskan Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis sambil merujuk kepada inisiatif Pusat AGAPE Sibu yang melaksanakan program vaksinasi untuk orang kelainan upaya (OKU), ibu bapa serta petugas di pusat berkenaan.

Katanya, kerjasama seperti itu diyakini akan membantu mempercepatkan usaha Kerajaan Sarawak menamatkan program vaksinasi ini pada pertengahan Ogos depan seperti yang telah disasarkan.

“Kita berharap pusat ini dapat membantu kita mempercepatkan program vaksinasi agar kita dapat menamatkan Program Imunisai Covid-19 Kebangsaan pada pertengahan Ogos depan di seluruh Sarawak,” katanya kepada media selepas meninjau proses vaksinasi di Pusat AGAPE Sibu pada Jumaat.

Datuk Francis yang juga ADUN Simanggang berharap kerjasama dari pusat itu dapat diteruskan di masa akan datang untuk membantu golongan kurang upaya itu dalam program berlainan.

Sebanyak 375 dos kedua diberikan kepada OKU dan ibu bapa pada program tersebut yang diadakan selama tiga hari.

Sementara itu pada sebelah petang, Datuk Francis berkesempatan melawat tapak projek Rumah Seri Kenangan Sibu untuk melihat perkembangan status penyiapan rumah orang tua tersebut.

Projek tersebut telah bermula pada 2 Januari 2019 dan dijangka siap pada 1 Januari 2021 namun ditangguh susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kemajuan projek telah mencapai sebanyak 95 peratus pada 9 Julai 2021.

Antara kemudahan dan fasiliti yang  terdapat di Rumah Seri Kenangan ini nanti adalah blok pejabat, Dewan Zamrud & dewan makan, asrama lelaki & perempuan, rumah pengawal, menara air, rumah sampah, MSB Blok, hosereel pump set & tank room dan covered walkway. – EDISI UKAS

Share
0

add comment