JUMAAT, 9 JULAI 2021
BINTULU: Seorang wanita telah mengalami kerugian sebanyak RM16,750 selepas diperdaya oleh sindiket penipuan komisen jual beli barangan melalui aplikasi Instagram.
Ketua Polis Daerah Bintulu Supt. Zulkipli Suhaili berkata, wanita Cina yang berusia 33 tahun itu mendakwa telah menerima pesanan melalui aplikasi Instagram yang menawarkan pekerjaan untuk mempromosikan barang dan djanjikan pulangan lumayan.
Katanya, mangsa tertarik dengan tawaran pekerjaan dan habuan kononnya akan mendapat kembali wang yang dilaburkan selain komisen dan berurusan dengan individu yang tidak dikenali melalul aplikasi Whatsapp di talian 010-4356293.
“Pada mulanya, individu terbabit telah menghantar pautan dan mengarahkan mangsa untuk menekan pautan tersebut.
“Setelah pautan itu ditekan, mangsa diminta untuk membuat pembayaran ke atas nilai barang yang dipamerkan,” katanya semasa berucap dalam sidang media yang diadakan di Bilik Gerakan IPD Bintulu pada Jumaat.
Tambah Supt. Zulkipli lagi, mangsa telah membuat pembayaran secara atas talian ke satu akaun bank berjumlah RM1,187.
“Untuk tugasan pertama pengadu telah menerima bayaran termasuk komisen lima peratus seperti yang djanjikan.
“Mangsa kemudiannya, diarahkan untuk melakukan tugasan kedua dan pada Khamis, membuat pindahan wang secara atas talian ke satu akaun berjumlah RM9,250 untuk bayaran ke atas tiga pasang kasut,” tambahnya.
Dalam pada itu, pengadu telah menghubungi individu itu dan bertanyakan tentang bayaran balik termasuk komisen yang djanjikan, namun diarahkan untuk membuat tugasan lain bagi melayakkan mendapat bayaran balik termasuk komisen.
Bagaimanapun, wang dan komisen yang dijanjikan tidak diterima selepas mangsa menyelesaikan tugasannya.
Ujar Supt. Zulkipli, mangsa kemudiannya meminta wangnya dikembalikan termasuk komisen yang djanjikan namun pelbagai alasan diberikan selain panggilan ke nombor yang diberikan tidak berjawab.
“Menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis pada Khamis di Pusat Sehenti IPD Bintulu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.
Dalam pada itu, Supt. Zulkipli mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tawaran-tawaran pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan.
Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mendedahkan makumat peribadi kepada individu yang tidak dikenali,” tegasnya. -EDISI UKAS