UNIFOR Agih RM4.78 Juta Untuk 35 Rumah Ibadat

JUMAAT, 9 JULAI 2021

KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) meneruskan sumbangan dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM4.78 juta kepada 35 rumah ibadat bukan Islam negeri Sarawak pada Jumaat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap menteri bertanggungjawab ke atas UNIFOR, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan tersebut adalah yang kedua telah disampaikan selain RM8.5 juta pada minggu lepas.

Peruntukan adalah bagi membantu penerima menaiktaraf dan membaiki infrastruktur di rumah ibadat masing-masing.

Datuk Amar Douglas Uggah menambah, Ketua Menteri Sarawak telah memperuntukan sebanyak RM50 juta kepada UNIFOR selain tambahan sebanyak RM5 juta lagi pada tahun ini.

Antara wakil penerima hadir pada majlis itu adalah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil, ADUN Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu, ADUN Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep, ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang, ADUN Serembu Miro Simoh dan ADUN Kedup Martin Ben.-EDISI UKAS

Share
0

add comment