600 Lagi Individu Lengkap Suntikan Dos Kedua Di PPV Dewan Pembangunan Sebuyau

SABTU, 10 JULAI 2021

SEBUYAU: Seramai 600 individu telah melengkapkan dos kedua vaksin jenis Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Pembangunan Sebuyau pada Jumaat.

Ia menjadikan jumlah keseluruhannya yang telah menerima suntikan di PPV tersebut seramai 3,000 orang.

Program pada Jumaat adalah hari keempat dengan seramai 240 individu menerima suntikan dos pertama di PPV berkenaan.

Tinjauan UKAS mendapati, masyarakat di kawasan Sebuyau semakin sedar akan kepentingan pengambilan vaksin COVID-19 berikutan program tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari masyarakat setempat.

Dalam pada itu, penerima vaksin yang ditemui menzahirkan rasa syukur kerana telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaaan Sarawak serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana telah memberi suntikan percuma kepada orang ramai dan menyeru orang ramai untuk mendaftar suntikan itu.

Perasaan gembira juga turut dikongsikan para penerima yang baru sahaja menerima suntikan dos pertama dan mereka turut menyeru orang ramai supaya mengambil vaksin dan mendaftar dengan segera. – EDISI UKAS

Share
0

add comment