ADUN Batang Ai Tinjau PPV Dewan Majlis Daerah Engkilili

SABTU, 10 JULAI 2021

ENGKILILI: Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh melakukan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Daerah (MDLA) Engkilili pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai memaklumkan, setakat Jumaat seramai 1,947 orang penduduk sekitar Engkilili telah menerima suntikan vaksin dos pertama jenis Sinovac manakala 1,934 orang lagi melengkapkan suntikan vaksin dos kedua.

“Seramai 201 orang yang dikategorikan sebagai kes tercicir dijangka menerima suntikan di PPV tersebut,” katanya.

Selain itu, Datuk Dr Malcolm memberitahu tujuh klinik dibuka untuk pemberian suntikan vaksin COVID-19 adalah Klinik Kesihatan Nanga Delok, Ulu Batang Ai, Klinik Kesihatan Nanga Stamang, Ulu Engkari, Klinik Kesihatan Nanga Patoh, Ulu Lemanak, Klinik Kesihatan Nanga Kesit,  Ulu Kesit, Klinik Kesihatan Nanga Kesit, Klinik Kesihatan Nanga Entalau dan Klinik Kesihatan Skim Skrang.

“Pemberian vaksin di Klinik Kesihatan  yang tersenarai akan dilaksanakan mengikut kesesuaian dan arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada pihak klinik perlu hadir ke rumah-rumah panjang ataupun sebaliknya,” tambahnya lagi.

Beliau turut menasihati penduduk setempat yang belum mendaftar untuk melakukan pendaftaran secepat mungkin di pejabat daerah yang berdekatan.

“Suntikan vaksin ini adalah merupakan salah satu cara kita membendung penularan wabak COVID-19  selain pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP),” tegasnya. –EDISI UKAS
 

Share
0

add comment