SABTU, 10 JULAI 2021
MIRI: Bahagian Miri telah mencatat 278,608 dos bagi pemberian vaskin COVID-19.
Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin menerusi kenyataan media pada Sabtu berkata, jumlah ini menerusi perkembangan proses vaksinasi Fasa 2 dan 3 berjalan dengan baik ketika ini.
“Pencapaian bilangan dos 1 dan 2 untuk Bahagan Miri adalah sebanyak 278,608 iaitu 64.5 peratus bagi dos 1 dan 20.35 peratus bagi dos 2 daripada 328,344 orang jumlah anggaran populasi penduduk berumur 18 tahun dan ke atas di Bahagian Miri yang layak untuk mendapatkan imunisasi daripada Jabatan Statistik Malaysia.
“Bahagian Miri mempunyai lapan buah PPV Awam yang terdiri daripada PPV Dewan Eastwood, PPV Dewan Universiti Curtin, PPV Dewan Dato’ Lee Teck Fook, PPV Dewan Masyarakat Bekenu, PPV Dewan Masyarakat Sepupok, PPV Dewan Suarah Marudi, PPV Dewan Masyarakat Beluru dan PPV Dewan Terbuka Long Lama.
“Selain itu, Bahagian Miri juga mempunyai sebanyak dua PPV Hospital Awam dan 26 PPV Klinik Kesihatan.
“Jumlah keseluruhan kapasiti awam Bahagian Miri ialah 18,600 dos suntikan dalam sehari. Ini termasuk tiga Pasukan Vaksinasi Bergerak yang hanya mengkhususkan kepada individu terlantar di rumah dengan kapasiti harian sebanyak 100 dos suntikan bagi setiap pasukan,” katanya.
Tambah Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak, Bahagian Miri juga mempunyai beberapa buah PPV Swasta (PPVHS & GP) dan PPV Industri (PPVIN).
“Bahagian Miri juga mempunyai tujuh PPV Swasta (PPVHS & GP) yang terdiri daripada Hospital Swasta dan Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) dengan jumlah keseluruhan kapasiti ialah 3,716 dos suntikan dalam seminggu.
“Selain itu, Bahagian Miri turut mempunyai enam PPV Industri (PPVIN) yang terdiri daripada sektor perladangan, sektor logistik dan pembuatan, sektor minyak dan gas, sektor pusat beli belah dan peruncitan dan sektor berasaskan kayu dengan jumlah keseluruhan kapasiti sebanyak 11,978 dos suntikan,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memberitahu bagi lokaliti yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Kluster Tembok Miri, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat ujian calitan COVID-19 ke atas 100 peratus penghuni pada hujung minggu ini.
“Bagi yang mempunyai keputusan ujian calitan COVID-19positif, mereka akan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) yang diwujudkan di dalam kawasan Penjara yang telah mula beroperasi hari ini.
“Dua blok bangunan penjara yang sesuai telah dikenal pasti oleh pihak pengurusan Penjara, Hospital Miri dan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri bagi tujuan untuk pemantauan dan rawatan pesakit banduan yang stabil tersebut,” jelasnya.
Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri yang juga Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Jamalie Busri, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri Kapten (PA) Usman Harto dan Pegawai RELA Daerah Miri Mohamad Afizi Salam. -EDISI UKAS