Bank RHB Adakan Perkhidmatan ATM Bergerak Di Daerah Asajaya Dan Sadong Jaya Bermula Isnin Ini

SABTU, 10 JULAI 2021

KUCHING: Bank RHB mengambil langkah proaktif apabila melaksanakan inisiatif Kerajaan Sarawak dengan memperluaskan perkhidmatan perbankan ATM Bergerak Bank RHB kepada masyarakat di luar bandar.

Pada 8 Mei lepas, Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah melancarkan perkhidmatan perbankan kepada masyarakat luar bandar di Sarawak. 

Menurut Pengurus Bank RHB Wilayah Sarawak Mohammad Tony Ong Abdullah menerusi kenyataan media pada Sabtu, perkhidmatan perbankan luar bandar ATM Bergerak Bank RHB ini akan diadakan di Daerah Asajaya dan Sadong Jaya bermula Isnin, 12 Julai 2021 hingga Jumaat pada 16 Julai 2021. 

“Pada Isnin dan Jumaat, perkhidmatan perbankan luar bandar ATM Bergerak Bank RHB akan diadakan di Pekan Asajaya/Masjid An Najjah pada sebelah pagi bermula 9.15 pagi hingga 1.00 petang dan disambung di TKK Mart/Pasar Ikan Kampung Tambirat pada sebelah petang bermula jam 2.00 hingga 4.15 petang. 

“Ini diikuti pada Selasa dan Khamis, di Pasar Pekan Sadong Jaya pada sebelah pagi dan Klinik Kesihatan Sadong Jaya/Gerai Makanan dan Minuman pada sebelah petang. 

“Manakala pada Rabu, perkhidmatan perbankan luar bandar ATM Bergerak Bank RHB diteruskan di Pasar Ikan Kampung Tambirat/TKK Mart pada sebelah pagi dan Pekan Asajaya/Masjid An Najjah pada sebelah petang,” katanya. 

Sehubungan itu, penduduk di Daerah Asajaya dan Sadong Jaya yang memerlukan perkhidmatan perbankan ATM boleh menggunakan perkhidmatan itu pada hari dan tempat yang dinyatakan itu. -EDISI UKAS

Share
0

add comment