Dato’ Sri Fadillah Serah Bakul Makanan Program PEMULIH Bagi Kawasan Petra Jaya 

SABTU, 10 JULAI 2021

KUCHING: Menteri Kanan Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato’ Sri Fadillah Yusof telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Bakul Makanan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi kawasan Parlimen Petra Jaya pada Sabtu. 

Simbolik penyampaian bantuan bakul makanan program PEMULIH tersebut bermula di Kampung Sungai Bedil Besar untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang, kemudiannya beliau ke Kampung Gita Baru untuk pemyampaian bagi kawasan DUN Tupong dan Dewan Serbaguna Kampung Kudei Lama untuk kawasan Satok.

Ditemui media selepas majlis penyampaian tersebut, Dato’ Sri Fadillah memberitahu, memberitahu seramai 5,000 ketua isi rumah (KIR) daripada golongan sasar dalam kawasan Parlimen Petra Jaya mendapat manfaat daripada program bakul makanan tersebut.

Ujar beliau, Kerajaan Persekutuan telah memberi peruntukan sebanyak RM300,000 kepada setiap kawasan Parlimen untuk mengagihkan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan.

“Kerajaan Persekutuan telah memberi peruntukan sebanyak RM 300,000 untuk setiap kawasan Parlimen tidak mengira sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk mengagihkan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan iaitu yang dikenalpasti di peringkat kawasan Parlimen,” katanya.

Tambah beliau, program tersebut merupakan kesinambungan dan tambahan kepada program Pusat Khidmat Petra Jaya yang sentiasa menyalurkan bantuan kepada golongan bersasar secara berterusan.

“Bagi Program Bakul Makanan, penetapan RM100 untuk setiap bakul makanan dikurangkan kepada RM60 bagi memastikan lebih ramai golongan sasar mendapat manfaat daripada program ini dan dengan itu jumlah penerima dapat ditambah daripada hanya 3,000 kepada 5,000 KIR,” jelas Dato’ Sri Fadillah lagi. 

Dalam pada itu, Dato’ Sri Fadillah memaklumkan juga  bahawa Pusat Khidmat Petra Jaya juga sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai sekiranya ada penduduk yang memerlukan bantuan dalam kawasan Parlimen berkenaan yang tercicir daripada senarai penerima bantuan. 

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Pusat Khidmat P.194 Petra Jaya, Abdur Rahman Abdul Rahim (013-2644174) untuk N6 Tupong; Morshidi Said (013-8051971) untuk N7 Samariang dan Naz Ismadiee Khalit (016-9247477) untuk N8 Satok. – EDISI UKAS

Share
0

add comment