Pembukaan Lebih Banyak PPVIN, Dapat Capai Imuniti Kelompok Awal Ogos Ini

SABTU, 10 JULAI 2021

BINTULU: Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Ladang Rajawali merupakan PPVIN pertama yang dibuka untuk pekerja yang terlibat dalam sektor perladangan di Bahagian Bintulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu, Jack Aman Luat berkata, selain PPVIN Ladang Rajawali sebuah lagi PPVIN akan dibuka iaitu PPVIN Labang dan PPVIN Ladang Sarawak Oil Palm. 

“PPVIN perladangan ada dua iaitu satu di Ladang Rajawali dan satu lagi di Ladang Labang. 

“PPVIN ini dibuka untuk memberi vaksin kepada pekerja-pekerja ladang di Sime Darby sama ada pekerja tempatan ataupun pekerja asing serta ahli keluarga mereka yang layak untuk divaksin.

“PPVIN Labang ini akan beroperasi pada 14 Julai nanti. Selain itu juga kita ada satu lagi PPVIN perladangan iaitu di Ladang Sarawak Oil Palm yang akan beroperasi pada 16 Julai nanti,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPVIN Ladang Rajawali pada Jumaat. 

Ujar Jack lagi, JPBB Bintulu telah menerima banyak permohonan tetapi kita akan pilih berdasarkan kepada jumlah pekerja, sekurang-kurangnya tidak melebihi 1,000 orang.

“Tidak lama lagi, dua lagi PPVIN iaitu di Shin Yang Plywood dan  Samling Plywood di Bintulu dengan sasaran pekerja di kedua-dua kilang perkayuan terbesar itu selain kilang-kilang kecil di kawasan berhampiran,” ujarnya. 

Beliau yang juga Residen Bahagian Bintulu menambah, pihaknya juga memberi fokus kepada kawasan pedalaman dengan menubuhkan beberapa pasukan Mobile Outreach.

“Kita telah pun membuat program Outreach Vaksinasi ke kawasan pedalaman dan menubuhkan beberapa pasukan bergerak, selain pembukaan 13 pusat kesihatan di kawasan pedalaman seperti di Sebauh dan Tatau serta klinik-klinik kesihatan yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV). 

“Sasaran kita ialah purata proses vaksinasi tidak kurang daripada 4,500 dos sehari. 

“Ini bermakna kalau ia berlanjutan, kita dapat mencapai sasaran untuk menyelesaikan dos pertama suntikan vaksin,” katanya. 

Selain menggunakan pengangkutan darat, pasukan Mobile Outreach juga menggunakan perkhidmatan khidmat doktor udara untuk ke kawasan yang jauh di pedalaman.

Berdasarkan statistik terkini, daripada 201,442 penduduk yang layak divaksin, seramai 135,000 atau kira-kira 67 peratus telah diberikan  dos pertama manakala 38,000 atau 19 peratus lagi untuk dos kedua. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Sime Darby Plantation Sarawak Sdn Bhd Khairul Nizam Idris dan Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu Anggang Jimbun. -EDISI UKAS