Penyerahan Sumbangan Kepada Tiga DUN Di Bawah Parlimen Batang Sadong Selesai Dalam Sehari

SABTU, 10 JULAI 2021

SADONG JAYA : Sejurus selesainya simbolik Program Bantuan Bakul Makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong dan DUN Simunjan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri meneruskan simbolik selanjutnya di DUN Sadong Jaya, pada Jumaat.

Beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo dalam masa yang sama turut menyaksikan penyampaian sumbangan melalui pengumpulan derma yang diuruskan oleh pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), bertempat di Rumah Komuniti Sadong Jaya.

Sumbangan disampaikan kepada Penghulu, Ketua Kaum dan Kapitan yang mewakili Kampung Sepayor, Semera, Jemukan, Jemukan Cina, Iboi, Pelandok, Jaie Sadong Laut, Sadong Jaya Ulu serta Kampung Bilis.

Sementara itu, Ketua Kampung Sadong Jaya Laut, Ramani Tobek ketika ditemubual merakamkan ucapan terima kasih kepada penderma prihatin yang sudi membantu meringankan beban rakyat termasuk menghargai usaha kedua-dua wakil rakyat tersebut.

Wakil penerima bagi Penduduk Jemukan Cina, Kapitan  Lee Keen Yep juga senada dalam menghargai usaha semua pihak yang amat menitikberatkan kebajikan rakyat.

Manakala, Ketua Kampung Semera Hilir, Lachak Sobeng berharap agar inisiatif sedemikian dapat diteruskan sepanjang pandemik COVID-19 masih menghantui negara, memandangkan semua rakyat sememangnya terkesan dan amat memerlukan bantuan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment