Stesen Pam Penggalak Air Atasi Isu Gangguan Bekalan Air Penduduk Meradong

SABTU, 10 JULAI 2021

MERADONG: Projek pembinaan stesen pam penggalak air dan tangki air aras tinggi bakal memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong yang mana mereka kerap mengalami masalah gangguan bekalan air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing memberitahu, stesen pam penggalak air dan tangki air aras tinggi Nam Kiew telah pun siap manakala stesen pam penggalak air KJD Bintangor masih lagi dalam proses pembinaan yang dijangka siap September ini.

“Sekarang ini kita masih menunggu untuk peletakan paip dari persimpangan hingga ke dua pam penggalak itu, supaya dua tangki aras tinggi dapat mempunyai bekalan air.

“Saya harap dengan siapnya peletakan paip dan tangki aras tinggi, masalah tekanan air rendah di daerah Meradong dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke kedua-dua lokasi pada Jumaat.

Sejurus selepas itu, Datuk Ding telah melakukan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Bintangor bagi melihat sendiri kelancaran proses pemberian vaksin di situ yang mana seramai 600 orang menerima suntikan vaksin dos kedua pada hari tersebut.

ADUN Meradong itu turut menyeru para penduduk yang tercicir nama atau belum mendaftar untuk mendaftarkan diri mereka dengan ketua masyarakat di kawasan masing-masing.

Beliau berharap setiap lapisan masyarakat di Daerah Meradong menerima suntikan vaksin berkenaan secepat mungkin kerana ia akan mengurangkan risiko dari dijangkiti wabak COVID-19. -EDISI UKAS

Share
0

add comment