Terus Patuhi SOP PKP, PPVIN Saremas Percepatkan Proses Vaksinasi Pekerja Sektor Perladangan

SABTU, 10 JULAI 2021

SUBIS: Masyarakat di kawasan luar bandar khususnya penduduk di Daerah  Subis disaran untuk terus patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Renggi, ini kerana kes penularan wabak pandemik COVID-19 di Daerah Subis masih ada setiap hari. 

“Sebab, kalau kita data-data dalam seminggu dua ini kawasan Subis ini sentiasa sahaja ada kes-kes positif setiap hari walaupun ianya tidak banyak. 

“Jika kita tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan maka data-data ini akan berterusan. 

“Saya sangat berharap masyarakat luar bandar patuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.  

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyaksikan sesi Dry Run dan Pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di PPVIN Saremas, Suai pada Sabtu. 

Sementara itu, Penolong Pengurus Saremas Asrif Mahmud mengucapkan syukur atas kelulusan PPVIN yang akan memberi vaksin COVID-19 kepada pekerja di sektor perladangan selain penduduk setempat di kawasan Suai ini. 

“Kita berasa bersyukur atas usaha daripada Kerajaan Sarawak yang mahu mempercepatkan proses vaksinasi kepada penduduk setempat. 

“Kita mengambil peluang usaha yang diambil Kerajaan Sarawak ini dengan menubuhkan PPVIN Saremas bersiap sedia untuk memulakan operasi proses vaksinasi pada 11 Julai 2021. 

“Seramai 2,252 orang pekerja termasuk pekerja tempatan, pekerja asing dan ahli keluarga mereka, guru-guru serta kontraktor akan menerima vaksin di PPVIN Saremas Suai,” katanya. 

Turut sama hadir Pemangku Residen Bahagian Miri yang juga Pemangku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri. -EDISI UKAS

Share
0

add comment