Kerajaan Sarawak Mengalukan Lebih Banyak Pasar Raya Sertai Program Pantri Komuniti

AHAD, 11 JULAI 2021

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak mengalu-alukan lebih banyak pihak pasar raya di negeri ini tampil menyertai program Pantri Komuniti dalam usaha membantu pelbagai golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, program Pantri Komuniti perlu diperluaskan agar masyarakat yang terkesan dapat dibantu sewajarnya.

Malah jelasnya, mulai Julai ini, inisiatif mendepani cabaran wabak COVID-19 di negeri ini memberi keutamaan kepada usaha memulihkan semula punca pendapatan rakyat.

“Hari ini (Ahad) pihak pasar raya LePaPa Samarahan telah menyediakan 200 pek bakul makanan untuk diagihkan kepada para penerima yang hadir menerusi program Pantri Komuniti yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).

“LePaPa Samarahan juga telah memulakan program Pantri Komuniti sejak 4 Julai lepas bersama pasar raya lain di Samarahan iaitu Unaco, Farley, H&L Aiman Mall, Sen Sen, Teck Kong, Emart The Summer Mall, Everise, Everwin, CS dan BB Supermarket,” katanya selepas merasmikan Pantri Komuniti di pasar raya LePaPa Samarahan pada Ahad.

Dalam pada itu, Dato Sri Dr Sim menambah, program Pantri Komuniti tersebut membuktikan semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak yang sentiasa saling membantu semasa pandemik COVID-19.

Sementara itu, Pengerusi MPKS, Dato Peter Minos turut berharap agar semangat “Sarawak Untuk Orang Sarawak” dapat diteruskan dalam membantu golongan yang memerlukan dan ianya merupakan semangat terbaik di kalangan rakyat Sarawak.

Turut hadir Pengerusi Penganjur Pantri Komuniti, Dato Sim Kiang Chiok dan Pengurus LePaPa Hypermarket Samarahan, Lee Kim Teck.-EDISI UKAS

Share
0

add comment