Pemberian Vaksin Di PPV Dewan Pembangunan Sebuyau Terus Terima Sambutan

AHAD, 11 JULAI 2021

SEBUYAU: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Pembangunan Sebuyau terus berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan.

Ketua Penyelaras PPV Dewan Pembangunan Sebuyau, Dr. Mohd Azzahari Abdillah, memberitahu, seramai 666 orang hadir bagi menerima suntikan vaksin dos pertama pada Sabtu dan ini menjadikan seramai 1,626 orang  individu menerima vaksin dos pertama di situ.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada para petugas yang memberikan komitmen menjalankan tugas dengan sebaiknya untuk memastikan PPV itu kekal efisien dan selesa.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan yang membantu menjayakan program berkenaan demi memastikan semua masyarakat menerima vaksin COVID-19.

Sementara itu, salah seorang penerima vaksin, Kacha Ramba, 81, menzahirkan rasa syukur kerana telah menerima suntikan dos pertama.

Perasaan gembira dan syukur turut dikongsi oleh penerima Aman Daud, 85, yang turut menerima suntikan dos pertama dan menyeru orang ramai supaya mengambil vaksin dan tidak perlu takut divaksinasi.

Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana telah menyediakan PPV yang selesa dan memudahkan penduduk luar bandar untuk hadir menerima vaksin.-EDISI UKAS

Share
0

add comment