Penduduk Kampung Mayang Kawan Ukir Senyuman, UNIFOR Lulus Dana RM300,000 Bagi Bina Baharu Gereja

AHAD, 11 JULAI 2021

SERIAN: Masyarakat di Kampung Mayang Kawan kini boleh mengukir senyuman apabila kerajaan negeri menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) meluluskan dana sebanyak RM300,000 bagi membina baharu gereja katolik St. Anthony’s Mayang Kawan.

Peruntukan bagi pembangunan gereja baharu itu akan menggantikan gereja lama yang digunakan sejak 40 tahun lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben telah menyerahkan cek peruntukan bagi pembinaan baharu gereja tersebut kepada Pengerusi Gereja St Anthony’s Mayang Kawan, Paul Lantan pada Sabtu.

Menurut Martin, kerja-kerja pembinaan gereja itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan laporan perkembangan status projek perlu dimajukan kepada pihak UNIFOR melalui beliau tanpa gagal.

Tambahnya, sekiranya peruntukan berkenaan tidak mencukupi, beliau akan menambahkan dana menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Peruntukan untuk pembinaan gereja yang baharu kelak mencukupi untuk mendirikan struktur, bumbung dan bahagian penting gereja terlebih dahulu.

“Namun, peruntukan tambahan untuk menyiapkan gereja seperti mengecat, pendawaian elektrik, pemasangan jubin dan lain-lain keperluan akan diuruskan melalui peruntukan RTP pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Temenggong Henry Bujang Sendan mewakili penduduk kampung di situ merakamkan penghargaan di atas keprihatinan ADUN dan kerajaan negeri melalui UNIFOR.-EDISI UKAS

Share
0

add comment