PPV Stungkor Beri Manfaat Kepada 17 Kampung Di Daerah Lundu

AHAD, 11 JULAI 2021

LUNDU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stungkor telah berjaya memvaksinkan kira-kira 1,005 orang dalam Zon Batang Kayan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datu Ik Pahon Joyik, beliau berasa terharu akan sambutan yang telah diberikan oleh para penerima vaksin.

Jelasnya, ini memandangkan cadangan pembukaan PPV Stungkor itu adalah selepas lawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ke PPV Lundu.

Beliau juga memuji usaha pengurusan PPV Stungkor dengan menggunakan kaedah hibrid untuk memvaksinkan para penduduk kampung yang datang pada hari ini.

“Konsep kita sekarang untuk kawasan-kawasan kampung adalah konsep hibrid di mana jikalau mereka telah berdaftar dengan MySejahtera ataupun warga Malaysia, mereka akan diberikan vaksin.

“Dan selepas itu pendaftaran melalui MySejahtera akan dibuat. Ini adalah bagi memudahkan dan mempercepatkan proses vaksinasi untuk dos kedua pada dua minggu akan datang,” katanya selepas melakukan tinjauan di PPV Stungkor pada Ahad.

Turut hadir, Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani, Pegawai Penyelaras PPV Lundu dan PPV Stungkor, Dr Pariksit a/l Anumanthan serta pegawai kerajaan yang lain.

Dengan program pemvaksinan ini, sasaran bagi memastikan penduduk kampung di 17 kampung untuk divaksinkan sepenuhnya telah tercapai.

Antara kampung berkenaan ialah Kampung Stum Muda, Kampung Stungkor Baru, Kampung Stungkor Lama, Kampung Raso 1, Kampung Raso 2, Kampung Bokah, Kampung Simpang Bokah, Kampung Siluk, Kampung Perian, Kampung Bitokan 1, Kampung Bitokan 2, Kampung Selampit 1, Kampung Selampit 2, Kampung Bukit Papan, Kampung Sebandi Hulu, Kampung Sebandi Hilir, dan Kampung Senibong.-EDISI UKAS

Share
0

add comment