ISNIN, 12 JULAI 2021
BELAGA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon pada Sabtu berkesempatan meninjau program vaksinasi bergerak yang diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Sungai Asap.
Dalam tinjauannya itu, beliau diberi penerangan oleh Penyelia PPV berkenaan, Dr. Yap Hung Wei mengenai perkembangan program vaksinasi di PPV Dewan Serbaguna Sg. Asap serta perancangan seterusnya di sekitar Sungai Asap, kawasan Urun, Ulu Sungai Linau dan seterusnya.
Selepas itu, Kennedy menyertai Ahli Parlimen, Datuk Wilson Ugak Kumbong dalam Program Pengangihan Bakul Makanan Melalui Ahli Parlimen Malaysia di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH)Negeri Sarawak untuk kawasan Parlimen Hulu Rajang.
Dalam program tersebut, beliau telah menyerah sumbangan dana melalui peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Lembaga Amanah Komuniti Apau Koyan Belaga sebanyak RM50,000 dan juga kepada BEM Daerah Belaga sebanyak RM10,000.
Kennedy dalam pada itu amat berterima kasih kepada Datuk Wilson di atas keprihatinan beliau menyalurkan bantuan bekalan makanan untuk meringankan beban rakyat yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tidak lupa penghargaan turut diberikannya kepada petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban sepanjang program pemberian vaksin program pengagihan bantuan bakul makanan yang telah dilaksanakan. – EDISI UKAS