Agihan Bantuan Makanan PEMULIH Kepada Warga Belaga Bermula Ahad

ISNIN, 12 JULAI 2021

BELAGA: Kerja-kerja pengagihan Bantuan Bakul Makanan Ahli Parlimen Malaysia Hulu Rajang kepada penduduk di kawasan Belaga bermula pada Ahad di pusat pengagihan bantuan Pejabat Daerah Belaga.

Pakej bantuan makanan ini adalah peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan yang disalurkan melalui Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Sebanyak 1309 pek barang makanan telah berjaya diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dari 25 buah perkampungan, sekolah dan rumah ibadat yang berada di sekitar Belaga.

Antara rumah panjang dan kampung yang terlibat ialah Rumah Kejaman Lasah Long Segaham (127 KIR), Rumah Kejaman Neh Long Liten (126 KIR), Rumah Sekapan Panjang (186 KIR), Kampung Melayu Belaga (88 KIR), Pasar Belaga (40 KIR) dan lain-lain.

Bantuan ini adalah sebagai satu usaha kerajaan bagi membantu rakyat yang terkesan ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam usaha untuk memerangi pandemik Covid-19.

Adalah diharapkan dengan adanya bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penduduk yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini.

Pengagihan bantuan berjalan dengan lancar serta mematuhi garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan dan akan disambung semula esok. – EDISI UKAS

Share
0

add comment