Chong, Berhentilah Bermain Politik, Rakyat Sudah Muak

ISNIN, 12 JULAI 2021

KUCHING: Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggesa Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen agar berhenti bermain politik ketika ini.

Dalam kenyataan media pada Isnin berkata, rakyat sudah muak dengan permainan politik seperti yang berlaku di Malaya. 

Malah, Kerajaan Sarawak ketika ini sedang bertungkus lumus melandaikan lekuk COVID-19 di Sarawak.

Gesaan ini dibuat susulan kenyataan Chong yang menyifatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memanjangkan penderitaan rakyat seperti yang dilaporkan akhbar The Borneo Post pada 12 Julai.

Tegas kenyataan itu lagi, apa yang diperlukan negara ketika ini adalah pemerintahan yang stabil untuk menggalas usaha untuk memulihkan negara semasa pandemik COVID-19 dan ini memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak.

“Kita tidak seharusnya memperjudikan keselamatan rakyat dengan bermain politik dan menyebabkan ketidakstabilan di negara ini. 

“Kami ingin bertanya kepada Chong, jika bukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, siapakah pilihan beliau dan DAP Sarawak untuk menggalas tugas sebagai ketua kerajaan?

“Krisis politik berskala penuh pada masa ini tidak akan menguntungkan mana-mana pihak,” tegasnya. 

Tambah Kelab Penyokong GPS itu lagi, Kerajaan Sarawak telah berusaha sedaya upaya untuk mengawal situasi COVID-19 di negeri ini dan juga menyantuni rakyat yang terjejas.

“Pemberian vaksin di negeri ini adalah antara yang tertinggi, jika tidak tertinggi di seluruh negara. 

“Semakin ramai orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi memastikan mereka dilindungi dari jangkitan virus tersebut,” tambahnya. 

Melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam proses vaksinasi besar-besaran, walaupun kes COVID-19 di negeri  ini belum stabil sepenuhnya tetapi, pengurangan kes harian dapat dilihat.

“Kami berharap ini akan berterusan dan kami meminta masyarakat untuk memainkan peranan mereka dalam memastikan negeri dapat pulih sepenuhnya demi kepentingan semua,” ujarnya.

Dalam hal ini, Kelab Penyokong GPS turut menasihatkan Chong dengan memetik pepatah lama ‘Sekiranya anda bukan sebahagian daripada penyelesaian, maka anda adalah sebahagian dari masalah tersebut’. -EDISI UKAS

Share
0

add comment