Galakkan Masyarakat Limbang Daftar Vaksin, Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Limbang Pasang Banner

ISNIN, 12 JULAI 2021

LIMBANG: Pejabat Pusat Wakil Rakyat Khidmat Parlimen Limbang telah mengambil inisiatif dengan memasang banner dalam bahasa tempatan ‘Bah, Maritah Kitani Mendaftar Vasin’ bagi menggalakkan masyarakat di Daerah Limbang mendaftar dan mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Menurut Pegawai Media Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat Limbang Mohd Fikri Jamal, sebanyak 7 banner telah dipasang di beberapa kawasan dalam Parlimen Limbang.

“Sejak 7 Julai lepas, banner ini telah dipasang di beberapa lokasi strategik di Parlimen Limbang antaranya di hadapan bangunan Limbang Plaza, tepi jalan di hadapan Jabatan Penyiaran RTM Limbang, di bulatan Batu Biah dan simpang empat Kampung Patiambun.

“Setakat ini 4 banner telah siap di pasang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota manakala selebihnya akan di pasang DUN Batu Danau.

“Di dalam banner itu menggunakan bahasa tempatan seperti ‘Urang Limbang, maritah kitani beramai-ramai menjayakan Program Vaksinasi di Limbang ani untuk membendung penularan COVID-19. Bervaksin atu adalah tanggungjawab tani bersama. Jangantah percaya serta berkongsi maklumat dan fakta inda sahih’,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Ahad. 

Mengulas lanjut, Mohd Fikri menambah selain banner, promosi pendaftaran vaksin COVID-19 ini turut dilakukan menerusi sebaran video di aplikasi Whatsapp dan Facebook.

Justeru, masyarakat Limbang digesa agar mendaftarkan diri di dalam program vaksinasi yang sedang rancak dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada masa ini untuk membendung penularan COVID-19. 

Masyarakat tempatan juga dinasihatkan agar tidak berkongsikan maklumat dan fakta yang tidak sahih berkaitan vaksin COVID-19. -EDISI UKAS

Share
0

add comment