Perkhidmatan Komuniti Chat Bantu Tangani Isu Sosial

ISNIN, 12 JULAI 2021

KUCHING: Pandemik COVID-19 memberi impak kepada kesejahteraan komuniti serta menyumbang kepada pelbagai isu sosial dalam masyarakat seperti kesihatan mental.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, isu sosial ini telah membawa kepada pelbagai masalah yang serius seperti cubaan membunuh diri.

Jelas beliau, kes bunuh diri di Sarawak menunjukkan tren membimbangkan dengan meningkat bagi lima bulan pertama dalam tahun 2021.

“Pada tahun 2020 sebanyak 46 kes bunuh diri manakala pada pertengahan tahun 2021, sebanyak 37 kes dilaporkan. Dari situ kita boleh lihat tren peningkatan kes.” ujarnya dalam Sidang Media Perkhidmatan Komuniti Chat di pejabatnya di Wisma Baitulmakmur Pada Isnin.

Mengulas lanjut berkenaan perkhidmatan Komuniti Chat itu, beliau berkata ia adalah penjenamaan semula perkhidmatan Tele-Kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di mana mereka telah mula bekerjasama dengan agensi lain.

Katanya, perkhidmatan itu juga bagi memudahkan masyarakat yang memerlukan khidmat kaunseling.

“Community Chat ini adalah penjenamaan semula tele-kaunseling yang telah diadakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum ini dengan medapat khidmat daripada agensi-agensi lain.

“Apa yang kita mahu adalah fasilliti ini boleh didapati di seluruh bahagian Sarawak.”tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah menambah individu yang memerlukan perkhidmatan Community Chat boleh terus menghubungi bilik gerakan operasi COVID-19 di seluruh Sarawak.-EDISI UKAS

Share
0

add comment