PPV IPG Kampus Rajang Mula Beroperasi, Sasar 2800 Penduduk Di Bintangor

ISNIN, 12 JULAI 2021

BINTANGOR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Sarikei menggiatkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Bintangor dengan pembukaan sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara bergerak di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang.

PPV tersebut telah mula beroperasi pada Isnin dengan sasaran penerimanya semua penduduk di Jalan KJD Bintangor.

Semasa meninjau hari pertama operasi PPV itu, ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sarikei atas usaha membawa pasukan vaksinasi bergerak ke kawasan itu.

“Ini merupakan salah satu inisiatif dari Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk Program Mobile Outreach kepada semua penduduk di Jalan KJD Bintangor.

“Melalui program ini semua penduduk di kawasan ini dapat menerima suntikan vaksin dengan mudah. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada DDMC kerana telah berjuang untuk kelulusan satu lagi Pusat Mobile Outreach di sini,” katanya.

Menjelas lanjut kepada pihak media, Datuk Ding turut menyeru Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di situ untuk memainkan peranan membantu mengesan mana-mana penduduk di kawasan masing-masing yang layak agar tampil untuk menerima vaksin.

Sementara itu, Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua menjelaskan seramai 61,343 dari 105,144 penduduk di Sarikei telah menerima dos pertama setakat ini manakala 35,281 telah lengkap pengambilan vaksin.

Tambahnya, PPV tersebut adalah yang kelapan diwujudkan di Sarikei di mana pihaknya mensasarkan untuk memvaksinasi seramai 2800 penduduk di kawasan Jalan KJD, Nanga Stras, Sg Mador termasuk warga IPG Kampus Rajang Bintangor.

Seramai 200 penduduk menerima suntikan di PPV tersebut pada Isnin. – EDISI UKAS

Share
0

add comment