ISNIN, 12 JULAI 2021
BINTULU: Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu telah mengadakan Program Vaksinasi Rumah Ke Rumah di beberapa buah rumah panjang dan penempatan di sekitar Bintulu.
Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung Hsien Liang program ini dikhaskan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan mereka yang terlantar yang tidak dapat pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat.
“Matlamat utama kita pada hari ini adalah untuk memberi vaksin kepada golongan yang terdiri daripada OKU, masalah mental yang mana mereka mempunyai kesukaran dan tiada kemampuan fizikal atau mental untuk datang ke pusat pemberian vaksin kita.
“Oleh yang demikian KKM mengambil inisiatif untuk datang ke rumah panjang, rumah teres, rumah flat untuk memberi vaksin kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam Program Outreach Mobilisasi Vaksin Rumah ke Rumah yang diadakan di Rh. Engkabang, Taman Yan Min, Taman Kemena Raya, Tanjung Batu dan Taman Seaview pada Ahad.
Seramai lima orang warga emas dari Rh Engkabang dan lima orang warga emas, OKU, mereka yang sakit terlantar di sekitar bandar Bintulu telah menerima suntikan vaksin.
Mengulas lanjut, Dr. Melvin menambah program ini akan diperluaskan ke seluruh Bahagian Bintulu.
“Program Vaksinasi Rumah Ke Rumah ini akan diperluaskan ke seluruh Bahagian Bintulu termasuk Sebauh, Tatau dan Jepak.
“Ianya dikawal selia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dilaksanakan bagi memastikan tiada lapisan masyarakat di negara ini yang tercicir bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19 dan seterusnya membentuk imuniti kelompok,” tambahnya.
Beliau juga meminta organisasi dan individu tampil bekerjasama dengan mereka demi memastikan lebih ramai pesakit di rumah dapat divaksin dengan segera.
Senarai nama penerima yang terlibat dalam program ini diperolehi daripada Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bintulu dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) serta pangkalan data Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu.
Hadir sama Pegawai Epidemiologi, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Azlan Arif Bolen, Pegawai Perubatan (Kesihatan Keluarga) Dr. Nurul Mufidah Md Nasir dan Pegawai Perubatan (Unit TBCP) Dr. Amalina Asmail @Ismail. -EDISI UKAS