Rumah Sarawak Kuala Lumpur Dan Sarawak Volunteer Bantu Anak Sarawak Di Semenanjung, Sabah Dan Labuan

ISNIN, 12 JULAI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Rumah Sarawak Kuala Lumpur (RSKL) dan Sarawak Volunteers (SV) bersedia membantu anak-anak Sarawak  yang berada di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang berdepan masalah dan kesulitan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19.

Penaung SV yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato’ Sri Fadillah Yusof dalam kenyataan media pada Ahad berkata, Kerajaan Sarawak dan Ahli-Ahli Parlimen GPS telah mewujudkan Pusat Operasi Bantuan di Rumah Sarawak Kuala Lumpur sejak dari awal perlaksanaan PKP bagi membantu warga Sarawak yang memerlukan bantuan.

“Sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac 2020, Kerajaan Sarawak melalui RSKL dan SV telah menyalurkan bantuan kepada seramai 26,021 anak Sarawak termasuk 20,916 pelajar yang berada di luar Sarawak khususnya di Semenanjung, Sabah dan Labuan.

“Seramai 17,954 warga Sarawak termasuk 17,739 pelajar menerima bantuan khas semasa PKP 1, diikuti 2,475 anak Sarawak termasuk 2,018 pelajar menerima bantuan ketika PKP 2 dan 5,592 warga Sarawak termasuk 1,159 pelajar menerima bantuan ketika PKP 3,” katanya. 

Antara bantuan yang diberikan ialah menguruskan penghantaran pulang pelajar-pelajar dan anak-anak Sarawak yang terkandas dan menyediakan penginapan sementara dan makan minum. 

Selain itu, bantuan kewangan dan bakul makanan turut disalurkan kepada warga Sarawak yang berdepan masalah ketika pandemik COVID-19 ini.

Tambah Dato Sri Fadillah lagi, dari segi bantuan kebajikan, RSKL dan SV telah membantu seramai 587 warga Sarawak pada 2020 dan 117 warga Sarawak dibantu sejak 1 Januari hingga 9 Julai 2021, melibatkan peruntukan sebanyak RM431,356.50. 

Bantuan kebajikan ini melibatkan tiga kategori bantuan iaitu Bantuan Mingguan (bagi kes yang dirujuk dari hospital di Sarawak) melibatkan seramai 115 warga Sarawak dibantu pada tahun lalu (2020) dengan nilai bantuan RM54,060 dan 89 dibantu antara Januari hingga 9 Julai tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM41,970.51.

Sementara itu, Bantuan Lain (penginapan, makanan, tiket penerbangan dan sumbangan) melibatkan seramai 418 warga Sarawak menerima bantuan berjumlah RM67,738.99 pada tahun lalu dan 67 lagi menerima bantuan berjumlah RM32,337 dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Manakala bagi pengurusan jenazah RSKL dan SV menguruskan penghantaran pulang 54 jenazah warga Sarawak pada tahun lalu (RM168,400) dan 21 jenazah sejak awal tahun ini (RM66,850).

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) Sarawak yang hadir dan juga atas bantuan yang telah mereka hulurkan kepada anak-anak Sarawak.

Kepada anak-anak Sarawak di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang memerlukan bantuan dan berdepan kesulitan terutama ketika penularan pandemik ini bolehlah menghubungi Careline Rumah Sarawak Kuala Lumpur & Sarawak Volunteers menerusi talian 011-57505389/ 011-57505379/ 011-69285673/ 016-8945579 (8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari). -EDISI UKAS

Share
0

add comment