180 Kes Positif COVID-19 Dicatatkan Di Miri, 169 Daripadanya Dikenal Pasti Kluster Tembok Miri

SELASA, 13 JULAI 2021

MIRI: Bahagian Miri telah mencatat 180 kes positif COVID-19 pada Selasa.

Menurut kenyataan media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri pada Selasa, daripada jumlah itu 178 kes dari Daerah Miri, satu kes dari Daerah Subis dan satu kes dari Daerah Telang Usan.

“Daripada 178 kes yang dilaporkan di Daerah Miri, 169 kes atau 94.94 peratus adalah kes dari Kluster Tembok Miri yang dikesan melalui saringan bersasar ke atas penghuni di Penjara Pusat Miri yang telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dari 9 hingga 23 Julai 2021. 

“Aktiviti pengesanan aktif telah dijalankan di kalangan penghuni dan kontak rapat. 

“Semua individu tersebut telah diberikan perintah kuarantin dan dipasangkan gelang pemantauan,” katanya. 

Sementara itu, jelas kenyataan itu lagi, setakat 13 Julai 2021, sejumlah 841 individu telah disaring, di mana 237 dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 416 dikesan negatif dan 188 masih menunggu keputusan ujian saringan. 

Kesemua kes positif COVID-19 telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) yang ditubuhkan dalam Penjara Pusat Miri untuk tujuan rawatan lanjut, pengasingan dan pemantauan. 

JPBB Miri menekan pentingnya penduduk yang layak mendapatkan vaksin COVID-19.-EDISI UKAS

Share
0

add comment