35 Atlet SUKMA Sarawak Bahagian Miri Terima Suntikan Vaksin COVID-19 Fasa Ketiga

SELASA, 13 JULAI 2021

MIRI: Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak meneruskan Program Vaksinasi COVID-19 Atlet Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2022 bagi Fasa Ketiga di Miri.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, seramai 49 atlet dan jurulatih di Bahagian Miri telah terlibat dalam fasa ini. 

“Vaksinasi di Miri merupakan fasa ke tiga di Sarawak dan melibatkan 35 atlet dan jurulatih dari pelbagai sukan termasuk ragbi, skuash, memanah, hoki, pelayaran, wushu, bola sepak, sepak takraw, eSports, silat, bola tampar pantai, bola tampar dan badminton. 

“Secara keseluruhan, terdapat 135 atlet dan 15 jurulatih dari Miri yang terlibat dalam program vaksinasi tetapi 54 daripadanya telah menerima suntikankan pertama melalui MySejahtera dan selebihnya berumur di bawah 18 tahun,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media Program Vaksinasi COVID-19 Atlet Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2022 Bahagian Miri di Universiti Curtin Malaysia pada Selasa.

Ketika ini Sarawak merupakan negeri pertama yang melaksanakan inisiatif program vaksinasi kepada atlet, jurulatih dan pegawai sukannya dan sebagai sebahagian strategi dan rancangan Sarawak agar atlet negeri dilindungi dengan baik dari COVID-19 serta memastikan latihan dan persiapan mereka mengikut jadual.

Keseluruhannya, seramai 808 atlet, jurulatih dan pegawai dari 31 sukan dan permainan yang dijadualkan ke SUKMA tahun depan di Johor.

Sementara itu, menurut pemain hoki Nurul’ Ain Abdullah yang ditemui, beliau mengucapkan terima kasih kepada MSN Sarawak dalam membantu atlet mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

“Terima kasih kepada MSN sebab memberi peluang kepada saya untuk mengambil vaksin COVID-19 bagi mewakili Sarawak dalam SUKMA,” katanya. 

Turut senada Sharon Sim Lily, atlet sukan ragbi yang gembira apabila berjaya diberikan vaksin COVID-19.

“Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MSN dan Kerajaan Sarawak dalam membantu para atlet SUKMA mendapatkan suntikan vaksin COVID-19,” katanya. 

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sarawak Nancy Jolhi, Pemangku Residen Bahagian Miri yang juga Pemangku Pengerusi JPBB Miri Jamalie Busri, COO Majlis Sukan Sarawak Dr. Ong Kong Swee, COO Curtin University Malaysia Ir. Pieter Willem Pottas, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri Kapten (PA) Usman Harto dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Mohamad Afizi Salam. -EDISI UKAS

Share
0

add comment