ADUN Pantai Damai Tinjau Projek Naik Taraf Sistem Perparitan Kampung Santubong

SELASA, 13 JULAI 2021

SANTUBONG: Menteri Muda Di Jabatan  Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam & DBKU) merangkap Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi melakukan tinjauan Projek Naik Taraf Sistem Perparitan di Kampung Santubong pada Selasa.

Beliau memberitahu, projek tersebut bernilai RM 504,000 dibina sepanjang 319 meter dan akan merangkumi pembinaan parit konkrit, parit sampingan, penutup parit dan struktur tambahan.

“Tanah kosong yang terdapat di sekitar tanah projek dicadangkan untuk pembangunan tempat rekreasi berdasarkan cadangan para belia di kampung tersebut untuk membangunkan gelanggang bola tampar dan bola sepak,” katanya.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai turut meninjau Projek Naik Taraf Struktur Batas Kampung Buntal siap sepenuhnya pada Mei lepas.

Projek yang bernilai RM639,000 ini telah melibatkan penambah baikkan jalan raya dan memperkuatkan jalan di tebingan sungai sekaligus memperbaiki struktur ban sepanjang 141 meter yang kerap pecah.

Selepas itu, Datuk Dr Abdul Rahman melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Buntal yang beroperasi pada minggu kedua dalam pemberian suntikan vaksin dos kedua jenis Sinovac.

Beliau berkata, sebanyak 120 dos telah disuntik pada hari tersebut dan seramai 2,000 penduduk di kawasan Kampung Buntal telah menerima suntikan vaksin dos pertama.

“Sekiranya pemberian vaksin ini berjalan dengan lancar, dijangkakan kesemua penduduk di Zon Santubong dan Zon Telaga Air melengkapkan dos vaksin mereka pada awal bulan Ogas nanti,” ujarnya.

Jelasnya, pemberian vaksin juga telah diadakan di Masjid Darul Hana untuk penduduk Seberang Hilir dan hanya beroperasi selama 2 hari sahaja akibat faktor kekurangan stok vaksin.

“Suntikan vaksin telah diberikan kepada seramai 800 orang melibatkan Kampung Boyan dan Kampung Gersik.

“Manakala bagi dos kedua mereka telah ditempatkan di PPV Klinik Kesihatan Petra Jaya pada hari Sabtu dan Ahad minggu lepas dan kesemua mereka telah melengkapkan suntikan vaksin tersebut,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan termasuk sukarelawan kampung kawasan tersebut. –EDISI UKAS

Share
0

add comment