Aidel Hargai Usaha Kerajaan Sarawak Wujud Perkhidmatan Bank Bergerak Di Sadong Jaya

SELASA, 13 JULAI 2021

SADONG JAYA: Inisiatif kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan pihak bank mewujudkan perkhidmatan bank bergerak telah memudahkan penduduk luar bandar menjalankan urusan perbankan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo penduduk di kawasannya juga tidak ketinggalan menerima manfaat tersebut yang juga telah sekian lama dinantikan.

“Perkhidmatan sedemikian memang telah lama dinantikan oleh penduduk luar bandar termasuklah di kawasan Sadong Jaya terutamanya bagi mereka yang ingin mengeluarkan simpanan atau penerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

“Sebelum ini, penduduk terpaksa pergi ke bank lain di Kuching yang bukan sahaja jauh tetapi melibatkan kos perbelanjaan juga,” katanya.

Bercakap kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semasa meninjau program ATM Bergerak RHB yang dianjurkan RHB Banking Group di Pekan Sadong Jaya pada Selasa, beliau menambah, perkhidmatan tersebut membawa manfaat kepada lebih 20,000 orang penduduk.

“Di Sadong Jaya terdapat lebih 20,000 orang penduduk. Ada yang biasa menggunakan perkhidmatan perbankan secara talian tetapi bagi golongan yang berusia mereka lebih senang berurusan menggunakan perkhidmatan secara manual seperti yang diadakan pada hari ini.

“Jadi, kita mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang telah mengambil pendekatan untuk mewujudkan perkhidmatan bank bergerak di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Sementara itu, Ketua Kampung Sadong Jaya Laut, Ramani Tobek ketika ditemui merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Aidel dan juga pihak bank di atas usaha membawa perkhidmatan tersebut kepada penduduk kampung.

“Saya mewakili penduduk di sini mengucapakan terima kasih atas keprihatinan wakil rakyat kami, Aidel dan juga pihak bank untuk membawa perkhidmatan bank bergerak ke kawasan Sadong Jaya.

“Program ini telah memudahkan penduduk untuk menjalankan urusan perbankan dan tidak perlu pergi jauh ke bandar,” katanya.

Pelanggan pertama perkhidmatan ATM Bergerak RHB Bank di Pekan Sadong Jaya, Nur Ikmal Ismail dari Kampung Pendam Hulu semasa ditemui berharap perkhidmatan tersebut dapat diadakan sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Tambahnya, sebelum ini mereka terpaksa pergi ke kawasan lain untuk urusan perbankan terutamanya melibatkan pengeluaran simpanan.

“Sebelum ini, kami di Sadong Jaya perlu pergi ke tempat lain terutamanya apabila mahu mengeluarkan simpanan.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan perkhidmatan ini dan berharap dapat diadakan setiap bulan,” katanya.-EDISI UKAS

Share
0

add comment