Keputusan Sarawak Beralih Ke Fasa 2 PPN Dilakukan Secara Profesional, Tidak Tergesa-Gesa

SELASA, 13 JULAI 2021

PADAWAN: Keputusan Sarawak untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilakukan secara profesional oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, keputusan itu tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya dan bukan keputusan yang tergesa-gesa.

“Keputusan adalah tertakluk kepada nilai ambang ataupun tiga indikator utama iaitu keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, kadar penggunaan katil di wad ICU dan peratusan populasi Sarawak yang telah divaksin.

“Dalam ketiga-tiga indikator tersebut, kita layak kerana dari segi bilangan kita pun layak, dari segi kemudahan perubatan kita telah dinilai supaya kita juga memenuhi syarat itu dan dari segi vaksinansi kita telah dapat 27 peratus. Nilai ambang cuma memerlukan 10 peratus.

“Jadi keputusan itu bukan keputusan tergesa-gesa, bukan keputusan tidak mengambil kira sains justeru ia dilakukan secara profesional oleh MKN,” katanya.

Beliau menjelas demikian semasa sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Klinik Kesihatan Braang Bayur Padawan pada Selasa.  

Sementara itu dalam sidang media sama, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memberitahu, program pemberian vaksin pasukan mobile outreach daerah kecil Padawan telah berjaya menyuntik sebanyak 6,232 dos vaksin COVID-19 kepada penerima setakat Isnin.

Ujarnya, beliau amat berpuas hati dengan kejayaan tersebut dan turut gembira dengan respons orang awam terhadap seruan kerajaan.

“Jumlah keseluruhan yang berdaftar adalah 8,067 dan daripada jumlah itu seramai 4,987 atau 61.82 peratus telah mendapat dos pertama dan seramai 1,245 atau 15.43 peratus pula menerima dos kedua,” jelasnya lagi.  

Dalam pada itu katanya, Sarawak telah melakukan yang terbaik dengan merekod kumulatif lebih 2 juta dos suntikan setakat Isnin.

Justeru, beliau berharap dengan pencapaian tersebut, Sarawak dapat mencapai sasaran untuk memberi vaksin kepada seluruh penduduk di negeri ini menjelang akhir Ogos.

Hadir sama dalam lawatan itu adalah Menteri Muda Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Ik Pahon Joyik.-EDISI UKAS

Share
0

add comment