KIR Terjejas Di Layar Mula Terima Bantuan Makanan Sumbangan Ahli Parlimen Betong

SELASA, 13 JULAI 2021

BETONG: Sebanyak 1,044 bakul makanan peruntukan daripada Ahli Parlimen Betong mula diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas di kawasan DUN Layar.

ADUN Layar, Gerald Rentap Jabu pada Isnin berkesempatan menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan itu Stor Penyimpanan Barang, Pusat Khidmat DUN Layar.

Beliau menyerahkan bantuan itu kepada wakil Pejabat Agama Islam Bahagian Betong, wakil Petubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong dan wakil Gereja St Augustine Betong.

Manakala pihak ketua masyarakat dan AJK Gerempung Tuai Rumah Layar pula hadir bagi mewakili para penerima dari senarai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Terdahulu, Gerald berkunjung ke IPD Betong bagi upacara ringkas penyerahan cek Peruntukan Khas daripada Perdana Menteri.

Penerima adalah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Betong (RM5000) dan AJK Surau An-Najah, IPD Betong (RM5000).

Dalam ucapan ringkasnya, ADUN Layar merakamkan penghargaan kepada pihak PDRM selaku petugas barisan hadapan atas pengorbanan melindungi rakyat di negeri ini khususnya di Betong dari pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong DSP Zamry Alli pula menyatakan pihaknya akan terus komited membantu pihak KKM di dalam mendepani Covid-19 selain pada masa sama akan terus menjaga ketenteraman awam dan masyarakat.

Gerald turut berkesempatan menyempurnakan penyerahan buku kerja sumbangan Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar untuk sekolah rendah dan sekolah menengah di Betong di Pusat Khidmat DUN Layar.

Untuk sekolah rendah, buku kerja disumbangkan untuk para pelajar tahun 4, tahun 5 dan tahun 6 manakala untuk sekolah menengah pula, ianya untuk para pelajar tingkatan lima.

Penyerahan sumbangan buku kerja ini telah diadakan secara berperingkat meliputi 11 buah sekolah rendah dan lima sekolah menengah di sekitar Betong khasnya di dalam kawasan DUN Layar.

Penyerahan melibatkan empat buah sekolah iaitu MRSM Betong, SMK St Augustine, SK Abang Abdul Kadir dan SJKC Chung Hua Betong. – EDISI UKAS

Share
0

add comment