Perkhidmatan Bank Bergerak Bank Rakyat Diadakan Di 5 Lokasi Dalam Bahagian Bintulu

SELASA, 13 JULAI 2021

TATAU: Bermula Isnin, Bank Rakyat telah memulakan perkhidmatan bank bergerak di kawasan luar bandar di Sarawak termasuk di Daerah Tatau yang merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong berkata, penduduk di Daerah Tatau boleh menggunakan perkhidmatan yang disediakan Bank Rakyat ini dengan sebaik mungkin khusunya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ingin membuka akaun. 

Program ini telah dilancarkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada bulan Mei lepas. 

“Saya mewakili penduduk di Daerah Tatau saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Bank Rakyat kerana telah memilih Pekan Tatau dan di Kuala Tatau salah satu daripada lokasi bank bergerak. 

“Operasi bank bergerak ini akan memudahkan penduduk sekitar dan ianya akan beroperasi setiap Isnin di sini (tempat letak kereta Awam, Pasar Baru Tatau). 

“Manakala operasi di Kuala Tatau adalah setiap hari Jumaat,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyaksikan Perkhidmatan Bank Bergerak Bank Rakyat di Tempat Letak Kereta Awam, Pasar Baru Tatau pada Isnin.

Sementara itu, Eksekutif Bank Rakyat Wallie Shyambrie memberitahu perkhidmatan bank bergerak diadakan di lima kawasan iaitu Pekan Tatau, Sebauh, Sungai Asap, Nyalau dan Kuala Tatau bermula jam 10.15 pagi hingga jam 3.00 petang. 

“Perkhidmatan yang ditawarkan Bank Rakyat ialah perkhidmatan pajak gadai, pembukaan akaun deposit semasa untuk syarikat, pengeluaran tunai atau deposit, pemindahan wang kepada bank-bank lain, pembiayaan pinjaman kereta atau rumah, pembayaran bil-bil setempat,” katanya. 

Perkhidmatan Bank Bergerak Bank Rakyat di Pekan Tatau ini bukan sahaja digunakan penduduk Daerah Tatau sahaja tetapi juga termasuk kawasan yang berdekatan iaitu dari Sungai Arip, Sungai Bawang, Sungai Tau dan Sungai Anak.

Sepanjang pekhidmatan bank bergerak Bank Rakyat, ramai di kalangan penduduk di Pekan Tatau ini mengambil peluang ini menggunakan kemudahan ini. 

Salah seorangnya Danny Jampi yang bertugas Pejabat Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh, menyifatkan perkhidmatan ini sangat baik dan memudahkan urusan penduduk tanpa perlu ke Bintulu untuk membuat urusan perbankan. 

“Saya datang ke sini untuk urusan membuat kad ATM. Saya menyifatkan kemudahan perkhidmatan bank bergerak di luar bandar ini sangat baik dan memudahkan urusan perbankan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa perlu ke Bintulu,” katanya. 

Pekan Tatau terletak 60 km dari bandar Bintulu dan perjalanan mengambil masa selama sejam setengah ke dua jam.

Hadir sama Pegawai Tadbir Daerah Tatau Winnie Dian. -EDISI UKAS