PPV Persatuan Foochow Sibu Sasar Vaksinasi 3000 Penduduk Sentosa

SELASA, 13 JULAI 2021

SIBU: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terus diperluaskan di serata Sibu dalam usaha menurunkan kadar jangkitan wabak itu di bahagian tersebut.

Terbaru, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Persatuan Foochow Sibu turut memulakan operasinya pada Isnin untuk memvaksinasi penduduk di kawasan Sentosa.

Menurut Ketua Pemuda SUPP Cawangan Bukit Assek, Kaunselor Joseph Chieng Jin Ek, PPV yang dilaksanakan selama tiga hari itu mensasarkan seramai 3000 penerima.

“Program diadakan selama tiga hari bermula hari ini. Program ini khas untuk mereka yang tinggal di kawasan Sentosa kerana ia diklasifikasikan sebgai kawasan zon merah.

“Kita mahu semua penduduk di kawasan ini divaksin untuk menurunkan kes jangkitan Covid-19 di Sibu,” katanya kepada media semasa meninjau operasi hari pertama PPV berkenaan.

Bagi melancarkan operasi, PPV berkenaan katanya turut menggunakan khidmat sukarelawan terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), badan bukan kerajaan (NGO) dan petugas dari Persatuan Foochow Sibu sendiri.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak merangkap ADUN Nangka, Dr Annuar Rapaee termasuk Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek, Datuk Chieng Buong Toon turut meluangkan masa meninjau PPV tersebut. – EDISI UKAS

Share
0

add comment