SELASA, 13 JULAI 2021
SEBUYAU: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Daerah Sebuyau terus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penduduk yang memberikan kerjasama untuk menerima suntikan dos kedua vaksin.
Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi telah meluangkan melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Kampung Lutong, Sebangan bagi meninjau proses vaksinasi di situ.
Menerusi pemerhatiannya, Datuk Julaihi amat berpuas hati dengan perjalanan program vaksinasi yang dijalankan pada Isnin.
Seramai 360 individu yang hadir mengikut janji temu telah melengkapkan suntikan dos kedua mereka seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Tinjauan juga mendapati proses vaksinasi berjalan dengan lancar dan terkawal dengan para penerima vaksin memberikan kerjasama untuk mendapatkan vaksin masing-masing dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu serta pegawai-pegawai kerajaan lain. -EDISI UKAS