Tema Hari Sarawak 2021 ‘Sarawak Gemilang Untuk Semua’, Lancar Pertandingan Tik Tok Dan Lagu ‘Sarawak Gemilang’

SELASA, 13 JULAI 2021

KUCHING: Pada tahun ini, sambutan Hari Sarawak 2021 akan diadakan secara hibrid dengan jemputan terhad berdasarkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP). 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, sambutan kali ini diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Petra Jaya yang akan dihadiri Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib. 

Turut hadir nanti Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan isteri, Datuk Amar Juma’ani dan menteri kabinet Sarawak. 

“Perayaan Hari Sarawak pada tahun ini disambut dengan tema ‘Sarawak Gemilang Untuk Semua’. 

“Pada tahun ini, sambutan Hari Sarawak akan memfokuskan kepada semangat juang rakyat Sarawak dan solidariti dalam mencegah penularan COVID-19. 

“Semangat ini telah dibawa keempat-empat pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan Sarawak dan semangat itu dibawa sehingga  ke hari ini selama 15 bulan rakyat Sarawak memerangi COVID-19 secara bersama,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media Hari Sarawak 2021 yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa. 

Pada sambutan Hari Sarawak 2021, ianya akan disiarkan secara langsung di TVSarawak pada jam 8.15 malam dan di Facebook dan YouTube Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) serta Radio FM RTM Sarawak.  

Mengulas mengenai aktiviti yang akan diadakan pada 22 Julai itu nanti, Dato Sri Dr Sim menjelaskan Lembaga Multimedia Sarawak akan menganjurkan Pertandingan Tik Tok dan pada hari itu juga akan dilancarkan lagu ‘Sarawak Gemilang’ ciptaan anak tempatan Alvin Wee. 

“Untuk Hari Sarawak, salah satu acara rasmi yang akan diadakan ialah Pertandingan Tik Tok anjuran Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

“Ketika ini kita tidak mengadakan sambutan secara besar-besaran dan memandangkan anak muda kita sangat kreatif, mereka boleh menyertai saya dengan mengambil bahagian dalam Pertandingan Tik Tok dan menyumbang inspirasi orang Sarawak agar menjadi kenyataan seperti Sarawak hari ini.

“Acara kemuncak Hari Sarawak ialah pelancaran lagu rasmi dengan tajuk ‘Gemilang Sarawak’ mengambil sempena tema Hari Sarawak ‘Gemilang Sarawak untuk Semua’. 

Memandangkan penyertaan adalah terhad berdasarkan SOP, jemputan pada Hari Sarawak itu dihadkan kepada 100 orang sahaja dengan menjemput Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) dan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mengekang penularan wabak pandemik COVID-19. 

Dalam pada itu, rakyat Sarawak diminta untuk mengibarkan bendera Sarawak pada 22 Julai nanti sebagai menghormati Hari Sarawak. 

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan UKAS Abdullah Saidol, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Negeri (UPPAN) Azlan Ali Badri. -EDISI UKAS

Share
0

add comment