290 Lagi Penduduk Engkilili Terima Dos Kedua Vaksin COVID-19

RABU, 14 JULAI 2021

ENGKILILI: Seramai 290 orang lagi di Pekan Engkilili menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Majlis Daerah Lubok Antu, Engkilili pada Rabu.

Jumlah itu menjadikan seramai 3,473 orang penduduk di situ telah menerima dos kedua setakat ini dalam jangka masa 14 hari yang lepas iaitu mulai daripada 3 hingga 14 Julai 2021.

Program Imunisasai COVID-19 Kebangsaan di PPV tersebut juga akan diteruskan sehingga 16 Julai ini.

Dalam pada itu, seramai 102 orang telah dikenal pasti yang mana mereka belum menerima suntikan vaksin dos pertama dan suntikan kepada mereka itu akan diberi selepas selesai pemberian kepada penerima dos kedua.

Manakala, menerusi tinjauan yang dilakukan, program imunisasi itu telah berjalan dengan lancar dan mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang telah ditetapkan.

Sementara itu, para penerima vaksin menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan Sarawak di atas usaha memberikan vaksin kepada rakyat bagi memerangi wabak COVID-19 ini.-EDISI UKAS

Share
0

add comment