ADUN Jemoreng Turun Padang Tinjau Projek MRP/PPRMS

RABU, 14 JULAI 2021

MATU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya telah mengadakan lawatan ke beberapa Projek MRP/PPRMS di kawasannya pada Selasa.

Beliau memulakan lawatan ke Projek Bina Baru Tandas Awam di Pekan Matu yang sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap dalam masa terdekat.

Ia disusuli lawatan ke Pejabat Pos Matu di sebelah tandas berkenaan di mana cadangan telah diajukan kepada pihak Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) untuk membina bumbung dari jalan ke bangunan tersebut untuk kegunaan orang ramai.

Dato’ Dr Juanda kemudiannya melawat Projek naiktaraf Gelanggang Takraw di kampung Tian Matu yang telah siap dan diserahkan agensi pelaksana kepada Penghulu Tian.

Lawatan terakhir beliau ke tapak Cadangan Projek MRP/PPRMS untuk empat buah rumah di Kampung Tian Matu yang akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat.

Terdahulu, Dato’ Dr Juanda berkesempatan menyampaikan sumbangan buah nanas kepada penduduk di Igan.

Nanas yang dibawa dari Dalat itu bertujuan membantu pekebun terjejas pendapatan di situ disebabkan PKP dan lambakan buah tersebut yang tidak dapat dipasarkan ketika ini.

Beliau kemudiannya melawat rumah baru mangsa kebakaran di Igan yang siap dibina.

Seluruh keluarga mangsa kebakaran mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ADUN Jemoreng atas bantuan membina rumah tersebut yang cukup sempurna buat mereka.

Pada sebelah petang, Dato’ Dr Juanda meluangkan masa menyampaikan buah-buahan kepada petugas barisan hadapan dan petugas di PPV Daerah Matu bertempat di Dewan Suarah Matu dalam Program Penyampaian Sumbangan Peladang Prihatin Sarawak.

Program anjuran Jabatan Pertanian Daerah Matu dan Pertubuhan Peladang Kawasan Matu/Daro itu sebagai menghargai penat lelah petugas barisan hadapan serta petugas di PPV Matu sepanjang program vaksinasi diadakan.

Para penerima terdiri dari agensi kerajaan seperti KKM, PDRM, RELA, APM, CITF dan KMKK Daerah Matu. – EDISI UKAS

Share
0

add comment