RABU, 14 JULAI 2021
SERIAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben telah menyampaikan cek dana peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan peruntukan untuk pengurusan dan mengadakan aktiviti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kedup pada Rabu.
Peruntukan dana UNIFOR telah diserahkan kepada kepada Tuai Rumah Joseph Jalong selaku Pengerusi KGK Gereja St Lawrence iaitu sebanyak RM50,000 bagi menaik taraf Gereja St Lawrence, Sg Engkabang.
Manakala sebanyak RM70,000 diserah kepada Pengerusi KGK Gereja St. William, Johnnie Baki untuk membina dewan serta membaik pulih Gereja St. William, Plaman Ngiyang.
Dalam ucapan ringkasnya, Martin berkata, penerima dana UNIFOR harus memastikan pelaksanaan kerja dijadualkan dan dipantau rapi serta laporan perkembangan kerja hendaklah dimajukan kepada pihak UNIFOR melalui beliau.
Manakala, bagi peruntukan untuk pengurusan dan mengadakan aktiviti JKKK, sebanyak enam buah kampung menerima peruntukan tersebut yang mana masing-masing mendapat RM5,000.
Antara kampung tersebut adalah Kampung Antayan Keropok, Kampung Antayan Liun, Kampung Antayan Kersik, Kampung Krangan Tekalong, Kampung Resak dan Kampung Mapu Tantu.
ADUN Kedup itu turut menasihatkan supaya penerima peruntukan membelanjakannya secara berhemah dan mengikut keperluan agar dapat menaikkan nama serta peranan JKKK di kampung masing-masing. -EDISI UKAS