Agihan Bakul Makanan PEMULIH Untuk Kawasan Parlimen Mukah Mula Dilaksanakan

RABU, 14 JULAI 2021

MUKAH: Pengagihan Bakul Makanan Ahli Parlimen Malaysia Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) kepada 15,300 ketua isi rumah (KIR) di kawasan Parlimen Mukah mula dilaksanakan pada Selasa.

Menurut Residen Bahagian Mukah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir, pengagihan akan dihantar ke kawasan penempatan penduduk melalui ketua kampung ataupun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Katanya, Ahli Parlimen Mukah merangkap Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak, Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib turut menambah peruntukan sebanyak RM465,000 menjadikan keseluruhan sebanyak RM765,000 diperuntukkan bagi program bakul makanan tersebut.

Beliau menjelas demikian kepada UKAS semasa simbolik penyerahan bakul makanan itu bersama Pegawai Khas P213 Mukah, Rosli Sopok di Dewan Serbaguna Kuala Lama pada Isnin.

Bakul makanan tersebut akan diagihkan kepada penduduk di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dalat, Tellian dan Balingian.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kes Covid-19 di Mukah, Hamdiah menjelaskan kes di bahagian itu turun naik namun secara total keseluruhan kes di Sarawak telah mencatatkan penurunan.

“Ini adalah kes dalam komuniti. Kita haraplah selepas ini akan berkurangan lagi kes kerana kebanyakan PKPD yang kita ada sudah tamat.

“Yang paling penting adalah masyarakat, jaga diri. Kalau keluar kena pakai mask, perlu penjarakan sosial,” tegasnya.

Mukah mencatat 22 kes positif baru pada 11 Julai lepas berpunca dari kes komuniti iaitu dari Kluster Pasar Basah Mukah melibatkan penjual di Jalan Pasar, Mukah.

Setakat 11 Julai, 416 telah disaring, hasil daripada saringan 39 kumulatif kes positif.

Manakala satu lagi kluster masih aktif iaitu kluster Kilometer 85 Mukah, merupakan kluster di tempat kerja yang dikesan melibatkan sebuah ladang kelapa sawit. – EDISI UKAS

Share
0

add comment