Ahli Parlimen Kota Samarahan Serah 1,200 Bantuan Bakul Makanan

RABU, 14 JULAI 2021

SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang telah melakukan simbolik penyerahan sebanyak 1,200 bakul makanan kepada wakil penerima di Masjid Kampung Asajaya Laut pada Rabu.

Menurut Rubiah Wang, kesemua bakul makanan telah diagihkan kepada penerima yang layak di sekitar kawasan DUN Asajaya menerusi Program Bantuan Bakul Makanan Parlimen Kota Samarahan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Jelas beliau, senarai penerima yang diperolehi adalah menerusi  senarai E-Kasih Pejabat Daerah Asajaya, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan melalui Ketua Masyarakat dan Ketua Masyarakat (KMKK) Daerah Asajaya untuk mengenalpasti mereka yang layak akibat terjejas pendapatan dan ianya telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Khas Bantuan Bakul Makanan yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan komuniti.

Dalam pada itu, Rubiah Wang juga memaklumkan beliau telah menambah peruntukan sendiri bagi menggandakan senarai penerima daripada kapasiti asal sebanyak 3,000 orang penerima kepada 5,000 orang penerima.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) atas bantuan mengagihkan bantuan tersebut dan berharap semoga urusan pengagihan bantuan bekalan makanan ini akan berjalan dengan lancar dan sempurna.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Sanuyah Mohammad, Ketua Wanita PBB Cawangan DUN Asajaya, Mahani Sahari dan Penghulu Kampung Asajaya Laut, Madon Dillah.-EDISI UKAS

Share
0

add comment