Kerajaan Sarawak Tingkatkan Perlindungan Di Sempadan Malaysia-Indonesia

RABU, 14 JULAI 2021

KAPIT: Kerajaan Sarawak akan sentiasa berwaspada dan melindungi pintu masuk sempadan negara lebih-lebih lagi terhadap bahaya yang disebabkan oleh wabak COVID-19 dan strain baharu, varian Delta yang telah dilaporkan lebih mudah menular.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata, ia berikutan kekerapan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sarawak melalui pintu masuk yang tidak dijaga seperti di Tapak Megah dan Long Singut yang sekaligus memerlukan kerajaan Sarawak untuk lebih waspada dalam menjaga pintu masuk di sempadan negara.

“Dengan pandemik kesihatan global dan kehadiran wabak COVID-19 di Kalimantan yang semakin meningkat, kerajaan Sarawak selalu waspada terhadap bahaya yang disebabkan oleh wabak COVID-19 tersebut dan strain baru, varian Delta yang dilaporkan lebih cepat menular,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Tan Sri Datuk Amar Dr James yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kawalan Keselamatan telah melakukan lawatan ke pangkalan hadapan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dicadangkan iaitu di Tapak Megah (TM1) di Daerah Bukit Mabong terletak 19.5 kilometer dari sempadan dengan Indonesia dan 265 kilometer dari bandar Kapit.

Dalam lawatan tersebut beliau menyerahkan dua buah motosikal, dron dan ATV untuk kegunaan pegawai PGA.

Sementara itu, beliau turut menekankan mengenai kepentingan mendirikan pos sempadan di sepanjang sempadan Malaysia dan Indonesia di Bahagian Kapit lebih-lebih lagi apabila Kalimantan menjadi ibu negara Indonesia kelak. -EDISI UKAS

Share
0

add comment